TAMPIN: Seorang penunggang motosikal mengalami cedera parah selepas terlanggar sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Tampin-Gemas berhampiran Taman Sri Nova, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa lelaki berusia 20 tahun yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Gemas menghala ke Alor Gajah, Melaka.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, ketika itu hujan lebat dan mangsa telah terlanggar sebatang pokok tumbang yang melintang di atas jalan dipercayai tumbang akibat ribut.
“Akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal itu telah mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan paha kiri dipercayai akibat tercucuk kayu pokok.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah susulan kecederaan tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Amiruddien berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan.-UTUSAN.










