SANDAKAN: Ruang Daya Cipta (RDC) pertama di Sabah yang dirasmikan semalam dilihat akan membantu hasrat kerajaan meningkatkan kapasiti sains, teknologi, inovasi dan ekonomi negara melalui program penyelidikan dan pembangunan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, pelaksanaan RDC dapat mewujudkan kesan berganda dengan sains, teknologi dan inovasi dalam menjadi pemangkin ekonomi negara, sekaligus membuka peluang khususnya kepada golongan B40 dan M40 untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kehidupan.
“Untuk makluman, RDC Sandakan mula beroperasi pada Februari 2023 untuk dimanfaatkan oleh komuniti setempat. RDC ini merupakan yang pertama dibangunkan di Sabah selain di Kota Kinabalu dan Keningau.
“Sama seperti RDC yang lainnya, RDC ini turut dilengkapi dengan kemudahan peralatan dan aplikasi STI seperti komputer, mesin percetakan 3D, set studio digital dan lain-lain. RDC juga menyediakan studio digital, makmal reka bentuk, dan makmal komputer untuk mencetuskan idea dan inovasi, serta menghasilkan produk yang boleh dipasarkan,” katanya semasa merasmikan RDC Sandakan, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, RDC ini akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melakukan aktiviti yang kurang dapat diakses sebelum ini, seperti reka bentuk kreatif, elektronik dan robotik, teknologi realiti maya, fabrikasi dan pertukangan serta multimedia.
Pelaksanaan RDC akan dapat merealisasikan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperkasakan agenda Inovasi Sosial bertemakan ‘merakyatkan sains, menginsankan teknologi, mengarusperdanakan Inovasi’.
RDC adalah salah satu inisiatif MOSTI yang dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk memberi peluang kepada komuniti di negara ini mendapatkan akses kepada peralatan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI).
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, setakat ini, pihaknya telah membangunkan 16 RDC di seluruh negara dan tiga daripadanya dibangunkan di Sabah termasuk Sandakan.
Dengan adanya RDC ini, beliau berharap boleh membawa perubahan positif dan memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk berinovasi dan mencipta sesuatu yang baharu, seterusnya dapat mewujudkan ekosistem yang membolehkan idea-idea bernas dijana dan dikembangkan di kalangan masyarakat di sini.
Pada majlis sama, sesi penyerahan produk inovasi di bawah Geran Program Yayasan Inovasi Malaysia turut diadakan dan ia diharap dapat menyemarakkan lagi budaya sains, teknologi, inovasi dan ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat. – UTUSAN











