KOTA BHARU: Seorang peniaga satar tidak dapat menahan sebak apabila impiannya untuk memiliki sebuah rumah yang selesa tercapai menerusi
Bantuan Bina Baharu Rumah Kasih Ihsan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Wan Norizan Mohd. Nawawi,44, berkata, sebelum ini, dia bersama suami serta empat orang anaknya hanya menumpang di rumah neneknya yang sangat uzur dengan keadaan dinding yang reput.
“Kami memang berhasrat untuk membina rumah sendiri,namun tidak berkemampuan kerana pendapatan kami hanya bergantung kepada hasil menjual satar dan otak-otak.
“Bagaimanapun, kami sangat bersyukur kerana terpilih untuk menerima rumah baru menerusi program ini dan ia amat memberi keselesaan buat kami enam beranak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Bina Baharu Rumah Kasih Ihsan ICU JPM yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah ICU JPM Datuk Azman Ibrahim di Kampung Tikat, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini hari ini.
Wan Norizan memberitahu, pemberian itu merupakan satu anugerah yang tidak ternilai buat dia dan keluarga.
Sementara itu Azman berkata, seramai 120 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin di seluruh Kelantan akan menerima Bantuan Bina Baharu Rumah Kasih Ihsan ICU JPM melalui peruntukan pembasmian kemiskinan berjumlah RM9.6 juta tahun ini.
Katanya, selain itu, seramai 240 KIR miskin tegar dan miskin diberi bantuan baik pulih rumah yang berjumlah RM5.8 juta.
Ujarnya, buat masa ini, Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) telah meluluskan sebanyak 175 projek baik pulih rumah dan 76 bina baru rumah melibatkan golongan miskin tegar dan miskin peserta eKasih di seluruh Kelantan.
“Dari jumlah tersebut, sebanyak 144 buah rumah telah siap dibina dan dibaik pulih.
“Program bina baru dan baik pulih rumah ini juga merupakan satu strategi untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan meningkatkan kualiti hidup selaras dengan agenda Malaysia Madani,” katanya.-UTUSAN










