Penganggur didakwa sokong, miliki bahan berkaitan Daesh - Utusan Malaysia

Penganggur didakwa sokong, miliki bahan berkaitan Daesh

HASBULLAH Hassan dibawa ke Mahkamah Sesyen Segamat atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh.

Hasbullah Hassan, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rahimah Abd. Majid, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan bidang kuasa terletak di bawah Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, dia  didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan cara mempromosikan kumpulan pengganas itu menerusi laman sosial Facebook menggunakan akaun bernama Hasbullah Hassan.

Perbuatan itu dikesan di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara Dua, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur pada pukul  9 pagi, 23 Mac 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 40 tahun atau dengan denda, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Hasbullah didakwa memiliki bahan, iaitu video, gambar dan barangan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas Daesh dan didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Perbuatan tersebut dilakukan di Felda Palong Timur Tiga, Batu Anam, Segamat pada pukul 12.30 tengah hari, 30 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mat Radzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan pakar dan tiada jaminan ditawarkan selaras dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×