Penduduk rayu bina pagar kubur elak diceroboh anjing, warga asing

Penduduk rayu bina pagar kubur elak diceroboh anjing, warga asing

GHAZALI Bahrum menunjukkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemang yang perlu dibina pagar bagi menjaga kesuciannya daripada diceroboh anjing dan pihak tidak bertanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Bagi menjaga kesucian Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemang, Batu 36 dekat sini, penduduk meminta pihak berkaitan membina pagar di sekelilingnya bagi menghalang diceroboh haiwan liar seperti anjing.

Seorang penduduk, Ghazali Bahrum, 64, berkata, kawasan perkuburan tersebut sering di­ce­roboh kumpulan anjing memandangkan di sekelilingnya didiami masyarakat bukan Islam.

Lebih menyedihkan, tanah perkuburan yang wujud sejak 60 tahun lalu itu juga kerap menjadi tempat longgokan sisa binaan yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

“Sedih kalau dilihat tanah perkuburan ini kerana kesuciannya tidak dipelihara dengan baik sepertimana sepatutnya kerana disebabkan tiada pagar bagi mencegah sebarang perbuatan tidak elok. Ada juga pekerja asing yang mengambil buah nipah berhampiran tanah perkuburan tersebut, tidak tahu menghormati kubur orang Islam dengan melangkah kubur-kubur yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ghazali memaklumkan, terdapat kira-kira 500 pusara di tanah perkuburan itu bagi penduduk Batu 36, Kampung Duku, Taman Kencana, Kampung Kemang dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu, Pengerusi Khairat Kematian Kampung Duku, Mahmood Ibrahim menyokong permintaan penduduk Kampung Kemang supaya kawasan perkuburan tersebut dipasang pagar.

Katanya, memandangkan ke­dudukan tanah perkuburan itu berhampiran kediaman bukan Islam, pihak berkenaan diharap dapat mempertimbangkan permintaan tersebut.

Malah ujarnya, ada pendu­duk sanggup mengebumikan jenazah ahli keluarga di tanah perkuburan lebih jauh yang terjaga dengan lebih baik.

“Mereka lebih rela ahli keluarga disemadikan di tanah perkuburan Islam di Parit Bengkok dan di Batu 30 Pengkalan Raja walaupun lebih jauh jaraknya,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap Ta­nah Perkuburan Islam Kampung Kemang itu terus dipelihara kesucian daripada diganggu oleh mana-mana pihak kerana telah wujud sejak sekian lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×