GEORGE TOWN: Setiap projek pembangunan yang dilaksanakan untuk faedah rakyat tidak boleh mengabaikan aspek budaya dan ekosistem, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ini termasuk projek kereta kabel Bukit Bendera yang mana reka bentuknya perlu memaparkan keindahan alam yang unik dan mempunyai sejarah bukan sahaja di Malaysia, namun di rantau ini.
Katanya, dalam usaha mempromosikan Bukit Bendera dengan teknologi moden, semua pihak mesti memikirkan soal alam sekitar serta pembangunan budaya di Pulau Pinang.
“Saya apabila berbicara soal pembangunan baharu, saya sangat terkesan dengan kata-kata Mark Twain yang menyebut tentang keperluan binaan bangunan yang mengambil kira aspek seni binanya di mana yang utama ialah soal budaya. Jangan gersang budaya.
“Bukit Bendera agak unik perancangannya dengan mengambil kira aspek tentang persekitaran, cuma saya tekankan sedikit tentang aspek budaya supaya ada keindahan, kelainan dalam seni bina itu di mana aspek budaya yang diserasikan dengan budaya Pulau Pinang.
“Saya bukan arkitek, tetapi Tan Sri (Ravindran Menon) boleh fikir untuk ubah suai sedikit supaya kita nampak keindahan Bukit Bendera yang unik dan bersejarah di Pulau Pinang, Malaysia dan rantau ini,” katanya pada perasmian dan majlis pecah tanah projek kereta kabel Bukit Bendera di Taman Botani, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon.
Projek kereta kabel Bukit Bendera yang diilhamkan oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Kumpulan Hartasuma Sdn. Bhd., dijangka dapat meningkatkan penghargaan para pengunjung terhadap keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian bio Bukit Bendera.
Selain itu, ia akan membantu mengurangkan kesesakan pelancong pada musim puncak dan menjadi laluan alternatif semasa kecemasan. Kerja-kerja pembinaan dijangka siap pada 2026.
Jajaran kereta kabel itu bermula dari stesen Taman Ekonomi sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera.
Laluan kereta kabel sepanjang 2.73 kilometer itu akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk, dengan masa perjalanan kurang dari 10 minit.
Menurut Perdana Menteri, beliau juga mahu Bukit Bendera kekal menjadi destinasi riadah untuk aktiviti pendakian bagi golongan muda. – UTUSAN










