Pembangkang jumpa kerajaan Khamis ini bincang peruntukan ahli Parlimen

Pembangkang jumpa kerajaan Khamis ini bincang peruntukan ahli Parlimen

TAKIYUDDIN Hassan (dua dari kanan) menyampaikan 'photobook' kepada Ahmad Yahaya (kanan) sebagai gimik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali Ke-57 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pihak pembangkang akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Khamis ini bagi mendapatkan perkembangan terkini pemberian peruntukan kepada ahli Parlimen mereka yang secara dasarnya telah dipersetujui oleh Kerajaan Perpaduan.

Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini pihak pembangkang belum menerima sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara tersebut.

“Beliau (Fadillah) beri tarikh 13 Jun untuk bertemu. Pada pertemuan itu nanti saya turut akan mewakili Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Sebelum ini mereka (Kerajaan Perpaduan) bincang (peruntukan ahli Parlimen pembangkang) dalam kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Jadi kali ini, kita nak tahu apakah syarat-syaratnya dan selepas itu barulah kami boleh buat keputusan sama ada akur atau tidak dengan syarat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-57 di Dewan Perniagaan Cina, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulamak Pas Datuk Seri Ahmad Yahaya.

Takiyuddin memberitahu, pihaknya berharap Kerajaan Perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan apa yang mereka janjikan.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah berjanji atau meletakkan dalam manifesto tetapi kita beri peruntukan sama rata RM3.5 juta setahun bagi setiap ahli Parlimen.

“Kita (PN) boleh beri walaupun tiada dalam manifesto sedangkan mereka (Pakatan Harapan) meletakkan pemberian peruntukan sama rata ini dalam manifesto mereka. Jadi itulah ekspektasi kita,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang antara lainnya bagi memastikan kestabilan negara dan mengelakkan perpecahan khususnya berkaitan 3R (agama, raja, kaum).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perincian draf terbabit sedang dimuktamadkan dan akan diserahkan kepada majlis kerja tertinggi (MKT) semua parti politik kerajaan serta pembangkang untuk diluluskan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN