COX’S BAZAR: Sekurang-kurangnya sembilan maut dan ribuan yang lain terpaksa melarikan diri ke lokasi lebih tinggi selepas hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di Bangladesh.
Pesuruhjaya daerah Sylhet, Ahmad Siddique berkata, sekurang-kurangnya 700,000 orang terkandas akibat banjir kilat dan hujan lebat di daerah itu, manakala kira-kira 500,000 yang lain di daerah Sunamganj.
Sekolah kini dijadikan tempat perlindungan bagi mereka yang terpaksa meninggalkan rumah kerana paras air sungai semakin meningkat, manakala lebih sejuta yang lain terkandas di kawasan utara.
Mangsa yang maut akibat tanah runtuh dilaporkan di daerah tenggara Cox’s Bazar.
Pegawai polis, Amir Jafar berkata, lapan daripadanya adalah pelarian Rohingya dan seorang warga Bangladesh.
“Mereka sedang tidur di tempat perlindungan apabila hujan lebat berterusan mencetuskan tanah runtuh di lima tempat kem. Mangsa tertimbus di bawah lumpur,” katanya.
Beliau berkata, ratusan pelarian dipindahkan dari kawasan yang dianggap berisiko.
Menurut Indeks Risiko Iklim Global, Bangladesh dengan kira-kira 170 juta penduduk adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana dan perubahan iklim.
Hujan monsun tahunan menyebabkan kemusnahan setiap tahun, tetapi pakar berkata, perubahan iklim mengubah corak cuaca dan meningkatkan bilangan kejadian cuaca ekstrem.- AFP










