BAGAN SERAI: Sepasang suami isteri di sini tidak menyangka tindakan mereka mempromosikan jualan buah durian Batu Kurau melalui media sosial mendapat sambutan sehingga diserbu pelanggan.
Apa yang menarik, mereka tidak menjual durian di gerai tepi jalan sebaliknya menjadikan pekarangan rumah mereka di Kampung Matang Merbau di sini sebagai lokasi jualan.
Jualan mereka adalah durian segar yang dibeli terus daripada pemilik dusun di sekitar Batu Kurau sebelum dibawa pulang menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk dijual kepada pelanggan yang biasanya sudah menunggu mereka.
Pasangan suami isteri itu, Mohd Fadil Sanif, 41, dan Norhasniza Hassan, 37, mengakui promosi jualan durian yang mereka buat di media sosial membolehkan maklumat mengenai jualan mereka diketahui ramai.
Menurutnya, mereka mempromosikan jualan durian melalui halaman Facebook dengan nama ‘Opot -Opot’
“Biasanya pada sebelah petang kami akan masuk dusun penduduk di Batu Kurang untuk membeli durian. Setelah durian penuh dalam kenderaan, barulah kami pulang ke rumah untuk dijual kepada pelanggan.
“Biasanya semasa sampai di rumah lebih kurang pukul 8 malam, sudah ramai pelanggan yang menunggu untuk membeli durian,
“Saya baru menjual durian sejak lapan hari lalu dan langsung tidak menyangka promosi melalui Facebook menyebabkan jualan durian kami diserbu. Pelanggan yang datang bukan sahaja dari Bagan Serai tetapi dari Kedah dan Pulau Pinang yang sanggup datang untuk membeli durian Batu Kurau,” katanya.
Menurut pasangan suami isteri itu, agak mengejutkan kerana ada pelanggan yang menunggu seawal pukul 6.30 petang di pekarangan rumahnya untuk membeli durian sedangkan kenderaan pacuan empat roda yang membeli durian pemilik dusun biasanya tiba pukul 8.30 malam.
Katanya, permintaan daripada pelanggan semakin meningkat namun kadang kala bekalan durian tidak dapat menampung permintaan pelanggan.
“Pada Hari Raya AidilAdha ini, kami menerima tempahan lebih daripada tiga tan durian. Tempahan memang banyak cuma kami bimbang jika bekalan buah durian yang kami dapat tidak mampu menampung permintaan pelanggan.
“Buah durian yang dijual ada dua gred iaitu gred A dan C. Harga untuk gred C RM50 untuk 10 kilogram manakala gred A RM60 untuk lima kilogram,” katanya
Menurutnya, mereka tidak mengamalkan jualan longgok sebaliknya pelanggan memilih sendiri buah durian yang dikehendaki supaya pelanggan puas hati dan kemudian membuat bayaran mengikut timbangan.
Katanya, pada masa ini musim durian baru sahaja bermula dan harga raja buah itu masih tinggi.
“Namun kami menjualnya pada harga yang berpatutan. Biarlah kami mengambil keuntungan yang sedikit asalkan ramai orang terutama golongan B40 dapat membeli dan merasai buah durian,” katanya.
Pasangan suami isteri itu juga lengkap pulut durian dengan harga RM20 dan tempoyak pada harga RM10 sebekas.










