Pelajar UTHM tangguh pengajian jaga ayah sakit

Pelajar UTHM tangguh pengajian jaga ayah sakit

MUHAMMAD Afif Mohd. Ezani menjaga ayahnya, Mohd. Ezani Abas yang terlantar setelah menghidap kanser otak di kediaman mereka di Kampung Tiong, Kuala Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Apalah sangat pengorbanan yang saya lakukan ketika ini, terlalu kecil hendak dibandingkan jasa dan kasih sayang ayah membesarkan saya selama ini,” kata Muhammad Afif Mohd. Ezani, 25.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pembinaan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu sanggup menangguhkan pengajiannya pada tahun terakhir demi menjaga bapanya yang menghidap kanser otak.

Muhammad Afif berkata, bapanya, Mohd. Ezani Abas, 62, telah disahkan menghidap penyakit itu pada tahun 2020 setelah mengadu sakit gigi yang teruk.

“Ketika itu, arwah ibu, Zaini Yasin masih ada dan ibu yang menjaga ayah sepanjang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Namun, ibu pula meninggalkan kami semua kerana serangan jantung pada tahun 2022 ketika berumur 60 tahun.

“Ketika itu, kami tujuh beradik pun berbincang mengenai penjagaan ayah dan akhirnya sepakat untuk saya menangguhkan pengajian yang hanya berbaki lagi dua semester,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Tiong, di sini.

Muhammad Afif adalah anak keenam dan diberi kebenaran oleh pengurusan universiti untuk menangguhkan pengajian selama dua tahun sahaja.

Tambahnya, dia akan kembali ke universiti untuk menyambung pengajian pada Oktober depan dan tanggungjawab menjaga ayah mereka akan diambil alih oleh adik bongsu mereka pula yang akan menangguhkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Hartanah pada semester tiga, juga di UTHM.

“Alhamdulillah, kami tujuh beradik sentiasa berbincang dengan baik untuk membalas jasa ayah membesarkan kami selama ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×