BAGAN DATUK: Kegiatan ekonomi di daerah ini dijangka kembali rancak apabila Pelabuhan Bagan Datuk di Hutan Melintang di sini yang ditutup sejak tahun 2020 akibat pandemik Covid-19 akan kembali beroperasi tidak lama lagi.
Pelabuhan itu menempatkan jeti kargo dan Terminal Feri Antarabangsa dibangunkan semula kemudahan di bawah pengurusan baharu.
Pengurusan baharu pelabuhan itu, Ghadaf Marble Sdn. Bhd. sedia untuk menguruskan keperluan di pelabuhan tersebut terutama di jeti kargo yang menjalankan pengimportan hasil laut dan hasil pertanian untuk pasaran dalam negara serta diproses untuk dieksport ke negara lain.
Pengarah Ghadaf Marble Sdn. Bhd., See Mei Qi berkata, pelabuhan tersebut dikenali Pelabuhan Bagan Datuk dan Bagan Datuk International Gateway dan akan beroperasi tidak lama lagi.
Menurutnya, pihak pengurusan pelabuhan menyediakan pelbagai fasiliti seperti jeti dan gudang untuk menampung kemasukan kapal-kapal kargo, mengambil dan menurunkan barang-barang eksport dan import.
“Kami telah mendapat kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa dan kini dalam proses menguruskan kemasukan kapal kargo dalam masa terdekat.
“Kami mengalu-alukan para pengimport dan pengeksport untuk berurusan di Pelabuhan Bagan Datuk yang tiada masalah kesibukan dan merupakan lokasi yang strategik terutamanya antara wilayah tengah dan utara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, penambahbaikan bangunan terminal dijangka siap pada akhir tahun ini dan akan memulakan pengoperasian feri ke Tanjung Balai – Asahan di Sumatera dan juga merancang menambah perkhidmatan feri ke terminal feri lain di Sumatera pada masa akan datang.
Jeti Kargo berupaya menjalankan pengimportan hasil laut dan hasil pertanian untuk pasaran dalam negara serta diproses untuk dieksport ke negara lain. – UTUSAN










