Pasangan ‘Raja Sehari’ berarak naik jengkaut

Pasangan ‘Raja Sehari’ berarak naik jengkaut

MUHAMAD JAMALUDDIN Wak Yan (dua dari kiri) dan Nurul Eleeyana Najihah Zahid Hamidi (dua dari kanan) berdiri di atas ‘bucket’ jengkaut berarak di Felda Kota Gelanggi 4 di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pasangan ‘Raja Sehari’, Muhamad Jamaluddin Wak Yan, 27, dan Nurul Eleeyana Najihah Zahid Hamidi, 18, memilih meraikan hari bahagia mereka dengan berarak menaiki sebuah jengkaut serta diiringi empat lagi kenderaan sama di Felda Kota Gelanggi 4 di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhamad Jamaluddin berkata, dia memilih jengkaut apabila empat orang rakannya yang juga pemandu jengkaut memberikan idea untuk berbuat demikian sempena majlis perkahwinannya.

“Meraka (rakan) sanggup membawa jengkaut masing-masing mengiringi kami sejauh 150 meter dengan memuatkan pasukan bunga manggar serta ahli keluarga masing-masing ke rumah pengantin.

“Saya sudah hampir 10 tahun memandu jengkaut dan akan mengabadikan kenangan ini sehingga ke akhir hayat,” katanya di Felda Kota Gelanggi 4 di sini.

Menurut Muhamad Jamaluddin, hasratnya berarak dengan menaiki jengkaut turut disokong ibu bapanya dan isteri demi mencipta kelainan serta menggembirakan tetamu serta sanak saudara yang hadir.

Sementara itu, Nurul Eleeyana Najihah berkata, apabila dimaklumkan oleh suami mereka akan berarak dengan menaiki jengkaut, dia terkejut pada mulanya tetapi turut bersetuju dengan cadangan itu.

Dia yang baharu memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu berkata, ketika menaiki ‘bucket’ jengkaut berasa agak takut, tetapi teruja apabila ditenteramkan suami malah peristiwa perkahwinan itu akan menjadi ingatan dalam hidup ketika berumah tangga.

Pemandu jengkaut yang membawa pasangan tersebut, Muhammad Izaharuddin Iraman, 27, berkata, dia sanggup memandu jengkaut dari rumahnya di Felda Jengka 13, Bandar Pusat Jengka sejauh 40 kilometer dengan mengambil masa selama sejam setengah untuk meraikan rakannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×