Pas yakin pertahan kerusi DUN Sungai Bakap

Pas yakin pertahan kerusi DUN Sungai Bakap

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas melaungkan keyakinan parti itu mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap walaupun menang dengan majoriti 1,563 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan rekod penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Nor Zamri Latiff yang telah menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik.

Menurutnya, Allahyarham yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal telah melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap sehingga mendapat penghargaan daripada seluruh masyarakat di kawasan itu.

“Kita yakin sekiranya dapat mengemukakan calon bersesuaian, Perikatan Nasional (PN) boleh mempertahankan kerusi tersebut malah mungkin menang dengan majoriti lebih besar berbanding PRN lalu,” katanya semalam.

Mohd. Amar memberitahu, DUN Sugai Bakap akan melalui suasana berbeza berbanding Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu.

Katanya, komposisi pengundi merupakan faktor utama perbezaan suasana pilihan raya di DUN Sungai Bakap berbanding DUN Kuala Kubu Bharu yang telah menjadi milik DAP sejak tiga penggal lepas.

“Keadaannya tidak sama kerana DUN Sungai Bakap mempunyai lebih ramai pengundi Melayu ditambah pula dengan rekod perkhidmatan cemerlang Allahyarham Nor Zamri. Kedua-dua faktor inilah yang membezakan kawasan ini dengan DUN Kuala Kubu Bharu.

“Ia ditambah dengan sentimen penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO dan DAP yang turut berlaku di Kuala Kubu Bharu apabila hampir 90 peratus pengundi UMNO tidak keluar mengundi pada PRK lalu. Mereka tidak mengundi kita dan tidak undi calon DAP,” ujarnya.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong setelah penyandangnya, Nor Zamri meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN