LONDON: Parti Konservatif yang dipimpin Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak kelmarin mengumumkan rancangan untuk mengetatkan peraturan faedah penyakit yang akan menjimatkan AS$15.3 bilion (RM71.7 bilion) setahun.
Sunak yang sebelum ini mahu mengubah peraturan kebajikan untuk menangani peningkatan bilangan keciciran daripada tenaga kerja berkata, pembaharuannya mewakili misi moral serta langkah membantu memulihkan kewangan awam.
Pelan itu termasuk peningkatan dalam perkhidmatan kesihatan mental, penilaian lebih ketat terhadap keupayaan orang ramai untuk bekerja dan peraturan lebih ketat bagi mereka yang enggan mengambil pekerjaaan sesuai.
Perubahan tersebut dijangka menjimatkan pembayar cukai sebanyak 12 bilion pound (RM71.6 bilion) setahun dalam perbelanjaan kebajikan menjelang akhir parlimen akan datang yang berlangsung sehingga 2029, kata parti itu.
Bagaimanapun, Institut Kajian Fiskal (IFS), sebuah badan pemikir bebas berkata, banyak perubahan yang dirancang sudah dimasukkan ke dalam unjuran fiskal sedia ada.
Pengarah Bersekutu IFS, Tom Waters berkata, cadangan baharu itu adalah bertujuan mengurangkan bilangan orang yang boleh menerima manfaat berdasarkan keadaan kesihatan mental.
“Pemotongan mungkin sudah tentu. Tetapi sejarah menunjukkan bahawa pengurangan dalam perbelanjaan selalunya lebih sukar direalisasikan daripada yang didakwa,” katanya.
Perbelanjaan untuk manfaat kebajikan orang sakit dan kurang upaya meningkat sebanyak 20 bilion pound (lebih RM119 bilion) setiap tahun sejak pilihan raya terakhir Britain pada 2019 – sebelum wabak COVID-19 – kepada 69 bilion pound (RM411.86 bilion) setahun.
Kenaikan 10.6 bilion pound (RM63.27 bilion) lagi dijangka menjelang 2029, kata IFS.
Menjelang pilihan raya kebangsaan bulan depan, tinjauan menjangkakan parti Sunak berada di landasan kekalahan teruk kepada pembangkang Parti Buruh.
Parti Buruh berkata, ia akan mengurangkan senarai menunggu untuk rawatan kesihatan bagi mendapatkan lebih ramai orang kembali bekerja dan menyemak kenaikan bil kebajikan.










