Operasi PdP SK Jeram diteruskan seperti biasa - Utusan Malaysia

Operasi PdP SK Jeram diteruskan seperti biasa

WONG Kah Woh ditemui pemberita di lobi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Operasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka tidak terjejas susulan kejadian kemalangan yang membabitkan rombongan guru dan kakitangan sekolah terbabit di Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran simpang tiga Bahau, awal pagi Ahad lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, operasi sekolah itu diteruskan seperti biasa dengan bantuan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Melaka.

Katanya, PPD juga akan membantu pihak sekolah untuk mengatur daripada segi jadual dan masa pengoperasian sekolah.

“Berkenaan operasi SK Jeram, pihak PPD sedang membantu pihak sekolah untuk memastikan operasi PdP sekolah anak-anak kita tidak terjejas.

“Untuk ini pihak PPD telah memberikan bantuan kepada pihak sekolah aturkan daripada segi jadual masa dan pengoperasian sekolah. Jadi daripada segi itu tidak ada masalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa kemalangan yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Pahang bersedia menghulurkan bantuan kepada semua guru, kakitangan dan murid yang terlibat kemalangan.

“Selepas kejadian, Kementerian Pendidikan, JPN Melaka dan Pagang telah melakukan lawatan bagi melihat keadaan cikgu, kakitangan dan murid yang terlibat sama ada di rumah atau di hospital.

“Pada masa kini, pihak kementerian, JPN dan PPD sudah pun menghantar pasukan kaunseling bagi memastikan kestabilan emosi cikgu dan murid yang terlibat dalam kemalangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, dimaklumkan seramai lima mangsa terdiri daripada empat orang guru dan seorang pembantu pengurusan murid masih menerima rawatan di HTAA.

Daripada jumlah itu, empat mangsa ditempatkan di wad biasa manakala seorang guru berada dalam unit rawatan rapi (ICU).

Terdahulu, empat mangsa termasuk dua guru SK Jeram disahkan meninggal dunia dalam kemalangan dianggarkan kira-kira pukul 12.30 pagi Ahad lalu apabila bas persiaran terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan 22 guru dan lima kakitangan SK Jeram bersama keluarga mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN