NS belum putus naik cukai taksiran selepas penilaian semula oleh PBT - Utusan Malaysia

NS belum putus naik cukai taksiran selepas penilaian semula oleh PBT

J. ARUL Kumar pada sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas 40 tahun, kerajaan Negeri Sembilan menerusi tujuh buah pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melaksanakan proses penilaian semula secara keseluruhan terhadap semua pegangan atau aset di negeri ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menaikkan cukai taksiran ataupun tidak berdasarkan laporan penilaian semula itu nanti. 

Beliau menjelaskan lagi, ketika ini keputusan berkenaan tidak boleh dibuat kerana proses penilaian semua yang telah dilaksana sejak tahun 2020 itu masih belum selesai malah memerlukan beberapa tahun lagi untuk disiapkan.

“Penilaian semula terhadap harta-harta sedang dijalankan selepas kali terakhir ia dilakukan pada tahun 1983, sejak itu penilaian semula secara keseluruhan tidak pernah dibuat.

“Di kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) terdapat hampir 350,000 lot harta yang perlu dinilai semula, setakat ini baru separuh sahaja sudah dinilai semula dan memerlukan dua hingga tiga tahun untuk diselesaikan penilaian semula ini.

“Ada pihak luar yang berkata penilaian semula ini akan menyebabkan dikenakan cukai taksiran yang lebih tinggi, namun mengikut keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) hanya penilaian semula sahaja dibenarkan dan sama ada terdapat kenaikan cukai atau tidak, ia belum ada apa-apa keputusan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Negeri di sini hari ini.

Arul Kumar menambah, proses penilaian semula itu melibatkan rumah, kedai, industri serta apa-apa bangunan yang boleh dicukai dan merupakan proses biasa dan sewajarnya ia dilaksanakan kerana kali terakhir dilakukan 40 tahun lalu.

“Bagaimanapun kita perlu sedar PBT berdepan dengan masalah kewangan ketika hasil daripada cukai taksiran tidak berubah sedangkan kos kerja pembangunan dan penyelenggaraan meningkat ketika penilaian cukai kita masih 40 tahun lepas,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya ada menerima aduan kenaikan cukai taksiran di bawah MBS namun memperjelaskan kenaikan itu melibatkan kawasan industri setelah proses pemutihan dilakukan di beberapa buah kawasan.

Jelasnya, kawasan terlibat dalam proses pemutihan itu adalah Kawasan Industri Nilai 3 dan Nilai Inland Port di mana terdapat kesilapan penilaian terhadap kawasan itu sebelum ini yang dinilai berstatus komersial sedangkan ia sejak awal berstatus industri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN