PARIT BUNTAR: Kira-kira 15,000 nelayan di utara Perak merangkumi Daerah Kerian dan Kuala Sepetang di sini kesal dengan tuduhan yang mendakwa mereka menjual diesel subsidi kepada kapal asing di tengah laut.
Wakil Persatuan Nelayan Kawasan Kerian, Mohd. Radzi Said, 54, berkata, tuduhan tersebut tidak benar dan nelayan tidak pernah melakukan perbuatan tersebut.
Malah katanya, nelayan adalah ‘mata dan telinga’ kepada agensi keselamatan di laut yang akan melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku kegiatan melanggar peraturan di laut.
“Kegiatan menyeludup atau menjual diesel kepada kapal asing tidak pernah berlaku di kawasan ini malah keperluan diesel yang kami gunakan untuk ke laut pun kadang kala tak cukup, apatah lagi nak dijual kepada pihak lain.
“Tuduhan kami menjual diesel tidak berasas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nelayan di Kampung Menteri, Mohd. Nizam Zulkopli, 37, berkata, kira-kira 30 buah bot nelayan pukat rawa di sekitar Kuala Sepetang membeli diesel dengan harga runcit kerana mereka tidak mendapat subsidi diesel.
Katanya, adalah tidak wajar dakwaan mereka hendak menjualnya kepada pihak lain apatah lagi tuduhan jualan dilakukan di tengah laut.
“Kami sendiri pun terbeban dengan harga minyak, macam mana boleh kata kami jual minyak diesel.
“Sudahlah tidak dapat subsidi diesel, kemudian ditohmah begitu. Kami rasa sangat kecewa dengan dakwaan yang tidak berasas itu,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Rashid Hassan, 70, berkata, sepanjang menjadi nelayan, belum pernah berlaku nelayan menjalankan aktiviti penjualan diesel atau petrol kepada pihak lain.
“Ini kerana, kebanyakkan nelayan bumiputera di Kampung Menteri, Kuala Sepetang tidak pernah mendapat subsidi diesel disebabkan kebanyakkan lesen bot kategori mereka telah dibekukan,” ujarnya.
Difahamkan, di daerah Kerian, terdapat lebih 10,000 nelayan yang berdaftar dan tidak berdaftar menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut manakala di Kuala Sepetang pula terdapat lebih 5,000 nelayan pelbagai kelas zon kategori.









