Nahas bas persiaran-treler di Rompin: Rombongan terakhir Hamzah sebelum pencen - Utusan Malaysia

Nahas bas persiaran-treler di Rompin: Rombongan terakhir Hamzah sebelum pencen

SITI Zulaikha Hamzah (dua dari kiri) ketika ditenangkan ahli keluarga dan rakan sekerja ayahnya di Unit Forensik HTAA, Kuantan. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lawatan penanda aras Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu sepatutnya menjadi kenangan terakhir sebelum berpencen buat seorang mangsa yang maut dalam kejadian kemalangan membabitkan bas persiaran bertembung treler di jalan Kuantan-Segamat, berhampiran simpang tiga Bahau, di Rompian awal pagi tadi.

Mangsa, Hamzah Ahmad, 60, pembantu operasi sekolah itu disahkan meninggal dunia sekitar pukul 10 pagi ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Anak mangsa, Siti Zulaikha Hamzah, 25, berkata, ayahnya dijadualkan berpencen 7 Julai depan.

Katanya, pada awalnya, ayahnya enggan menyertai lawatan terbabit, namun mengubah keputusan selepas dipujuk bagi mencipta kenangan terakhir bersama rakan sekerja.

“Ayah jarang pergi jauh-jauh. Ini pun sebenarnya ayah tak nak pergi, puas saya pujuk saya cakap dekat ayah pergilah, ini kenangan sebab ayah tak pernah jalan jauh kalau membabitkan rombongan,” katanya ketika ditemui di unit forensik HTAA di sini.

Tambah Siti Zulaikha lagi, dia mendapat tahu kejadian menimpa ayahnya pukul 7 pagi.

“Ketika itu saya sedang bekerja. Saya rasa tidak sedap hati selepas dapat tahu ayah terlibat kemalangan jadi saya minta balik awal. Saya dapat maklumat ada yang beritahu ayah saya kritikal.

“Saya, adik dan emak bersama ibu saudara sekeluarga ambil keputusan untuk pergi ke hospital menaiki dua buah kereta.

“Dalam perjalanan ketika tiba di Palong, saya dihubungi pihak hospital sekitar pukul 10 pagi untuk terus ke unit forensik HTAA. Tapi tidak dimaklumkan apa-apa. Saya telefon hospital untuk dapatkan kepastian dan mereka beritahu ayah saya sudah tiada,” katanya memberitahu, ibu dan adiknya berpatah semula ke Kampung Londong, Masjid Tanah, Melaka berikutan bimbangkan keadaan ibunya yang tidak sihat selepas mendapat khabar duka itu.

Bercerita lanjut Siti Zulaikha memberitahu kali terakhir dia berjumpa ayahnya malam semalam sebelum Hamzah bertolak sendiri ke sekolah menyertai lawatan tersebut yang dikatakan bertolak pada pukul 10 malam.

“Ketika itu ayah beritahu hendak solat Maghrib dan kemudian bersiap untuk ke sekolah. Saya ketika itu sedang mandi. Selesai mandi, saya hendak keluar salam ayah tapi ayah telah pergi,” katanya.

Hamzah meninggalkan seorang isteri, Shamsiah Khamis, 55, dan dua anak perempuan, Siti Zulaikha dan Siti Wardah, 24.

Jenazah mangsa dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN