PETALING JAYA: Parti-parti yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak mampu memenanginya secara solo dan wajar bekerjasama bagi menghadapi PRN yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.
Sehubungan itu, kerjasama antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan UMNO dilihat gabungan terbaik apabila mempunyai pandangan dan matlamat yang sama pada PRN tersebut.
Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Jaujan Sambakong berkata, matlamat Warisan dan UMNO adalah sama dalam memenangi PRN Sabah serta membantu rakyat di sana.
Beliau mengakui terdapat pertemuan antara Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal; Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Memang ada perbincangan dan ia positif pada perbincangan awal. Namun, masih belum terdapat perjanjian daripada pihak UMNO dan Warisan kerana masing-masing masih menunggu tarikh PRN bagi melihat sejauh mana persefahaman itu.
“Kita akui mana-mana parti yang akan bertanding di PRN sabah tidak mampu memenanginya secara solo tanpa kerjasama beberapa parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kerjasama UMNO Sabah dan Warisan Sabah pada PRN hampir pasti apabila didakwa kedua-dua pemimpin tertinggi itu sudah beberapa kali mengadakan perbincangan ke arah kerjasama itu.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan, siri pertemuan Ahmad Zahid dan Shafie Apdal sangat positif.
Bagaimanapun, menurut beliau, sebarang keputusan mengenai kerjasama itu akan diumumkan menerusi kenyataan rasmi sebaik pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambah Jaujan, Warisan sentiasa bersedia jika PRN Sabah diadakan dalam masa terdekat.
“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sudah membuat kenyataan bahawa ia boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun dijadualkan tahun hadapan,” katanya.










