NEW DELHI: Seorang menteri di India melancarkan mogok lapar untuk menuntut lebih banyak bekalan air di New Delhi, berikutan paip air di beberapa kawasan termiskin hampir kering akibat cuaca panas melampau.
Setakat semalam, mogok lapar yang dilancarkan oleh Menteri Air Delhi, Atishi sudah memasuki hari keempat.
“Terdapat 2.8 juta orang di bandar itu yang merintih hanya untuk mendapatkan setitik air,” katanya.
Berjuta-juta rakyat India menghadapi kekurangan air setiap musim panas ketika permintaan air meningkat di ladang, pejabat dan kawasan kediaman berbanding bekalan yang terhad.
Namun, gelombang haba yang berpanjangan tahun ini memburukkan lagi krisis itu, termasuk di Delhi dan pusat teknologi selatan Bengaluru.
Delhi bergantung pada Sungai Yamuna yang mengalir melalui ibu negara untuk kebanyakan keperluan airnya, tetapi sungai ini mula mengalir perlahan semasa musim panas menyebabkan kekurangan yang membawa kepada protes dan gesaan pemuliharaan air lebih baik.
Atishi menyalahkan negeri pertanian, Haryana kerana memanfaatkan sebahagian besar air sungai.
Kerajaan Haryana menepis tuduhan itu dan menyifatkan salah urus Delhi menyebabkan kekurangan air berlaku.
Pakar berkata, kajian semula di peringkat Persekutuan berhubung perjanjian perkongsian air selama beberapa dekad perlu dilakukan untuk menampung pertambahan penduduk.
Delhi, sebuah bandar raya dengan 20 juta penduduk merupakan antara ibu negara yang paling padat penduduk di dunia, dengan kejiranan mewah hanya beberapa kilometer dari kawasan kelas bawahan yang tidak dirancang.- REUTERS










