PETALING JAYA: Institusi zakat diyakini mampu memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan Rukun Malaysia Madani dengan memupuk nilai-nilai sosial dan mendorong penglibatan masyarakat secara aktif dalam kegiatan zakat.
Menurut Institut Fatwa dan Halal (IFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), zakat dalam konteks sosial banyak membantu mengurangkan jurang sosial antara golongan miskin dan kaya dengan memberi bantuan kewangan dan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kesejahteraan dan keseimbangan sosial dalam masyarakat.
“Manakala dalam konteks ekonomi, institusi zakat secara jelas dapat membantu meningkatkan kegiatan ekonomi dalam masyarakat dengan memberikan bantuan kewangan, latihan dan pelbagai bentuk program dalam memperkasakan kelestarian ekonomi golongan asnaf,” katanya dalam kenyataan sempena penganjuran Muzakarah Zakat Kebangsaan Ke-10 2024 di Putrajaya, hari ini.
Muzakarah dua hari itu dianjurkan bersama IFAH dengan kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM dan Insititut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Majlis penutup muzakarah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Datuk Dr. Muhammad Tauffik Mohamad Noor; Pengarah PWZ, Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah dan Pengarah IFAH USIM, Prof. Dr. Azman Ab Rahman.
Muzakarah Zakat Kebangsaan merupakan sebuah program Flagship yang telah dilaksanakan oleh Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) dan kini diteruskan oleh IFAH sejak 2014. Program itu memfokuskan penyertaan daripada pegawai-pegawai zakat dan mufti-mufti seluruh Malaysia.
Menurut IFAH, penganjuran muzakarah ke-10 diharapkan dapat memberikan manfaat dan idea dalam memperkasa kutipan dan agihan zakat berdasarkan pendekatan Malaysia Madani dan enam Rukun Malaysia Madani yang telah digariskan.
“Penganjur juga amat yakin dengan penglibatan Jawhar, institusi zakat dan Majlis Agama Islam Negeri termasuk badan yang berautoriti serta agensi lain yang terlibat, hasil muzakarah ini akan memberi impak yang besar terhadap pemerkasaaan institusi zakat, pembayar zakat dan penerima zakat.
“Sebuah kerangka konsep Malaysia Madani dalam konteks institusi zakat dijangka akan dibangunkan hasil daripada muzakarah zakat pada kali ini,” katanya. – UTUSAN










