PETALING JAYA: Malaysia dan China mendesak gencatan senjata segera yang berkekalan dilaksanakan di Gaza, Palestin selepas krisis kemanusiaan di wilayah tersebut semakin memburuk.
Pada masa sama, kedua-dua negara bersahabat itu juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempertimbang permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang dalam kenyataan bersama dikeluarkan berkata, kedua-dua pemimpin menzahirkan keprihatinan yang serius terhadap perang yang sedang berlangsung di Gaza ketika ini.
Menurutnya, krisis kemanusiaan di wilayah tersebut memberi kesan buruk terhadap rakyat Palestin.
“Kedua-dua pihak menegaskan orang awam di Gaza harus dilindungi selaras dengan undang-undang antarabangsa selain mendesak gencatan senjata segera yang berkekalan dilaksanakan.
“Kedua-dua pihak juga menggesa bantuan kemanusiaan dihantar segera tanpa halangan serta perlindungan terhadap bantuan disalurkan dan petugas perubatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas lawatan kerja selama dua hari Li ke Malaysia sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Malaysia dan China menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasibnya sendiri termasuk hak mendirikan negara Palestin yang merdeka.
“Oleh demikian, kedua-dua pihak menggesa PBB mempertimbang permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh selaras dengan Resolusi A/RES/ES-10/23 yang diterima oleh Majlis Keselamatan PBB pada 10 Mei lalu.
“Selain itu, kedua-dua pihak menyatakan sokongan penuh untuk meneruskan semula rundingan politik berasaskan ‘penyelesaian dua negara’ serta menggalakkan penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia dan China mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan secara aman berhubung isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini.
Anwar dan Li Qiang berkata, penyelesaian akan dilakukan menerusi konsultansi dan rundingan mesra berdasarkan prinsip undang-undang antarabansa yang diiktiraf di peringkat universal.
Menurutnya, ia termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 berkaitan Undang-Undang Laut.
“Kedua-dua pihak akan melaksanakan dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim secepat mungkin bagi memupuk dialog dan kerjasama maritim,” katanya.









