PARIS: Mahkamah Perancis mengekalkan waran tangkap terhadap pemimpin rejim Syria, Bashar al-Assad, yang dituduh bersubahat dalam serangan kimia 2013 di Ghouta Timur.
Mahkamah Rayuan Paris menolak permohonan Pejabat Pendakwa Raya Anti-Keganasan Kebangsaan Perancis (PNAT) untuk membatalkan waran, yang berhujah bahawa Assad mempunyai kekebalan kehakiman.
“Larangan penggunaan senjata kimia adalah sebahagian daripada undang-undang antarabangsa sebagai peraturan mandatori, dan jenayah antarabangsa yang dilihat oleh hakim tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada tugas rasmi seorang ketua negara,” kata mahkamah, menjelaskan bahawa waran tangkap tersebut kekal sah.
Kes itu kini dikembalikan kepada hakim penyiasat, dengan pihak pendakwaan mempunyai lima hari untuk merayu ke Mahkamah ‘Cassation’.
November tahun lalu, waran tangkap dikeluarkan terhadap Assad, yang dituduh bersubahat dalam jenayah kemanusiaan dan jenayah perang berkaitan serangan kimia 2013.
Abang Assad, Maher al-Assad, yang juga Komander Divisyen Keempat Tentera Syria dan seorang lagi jeneral rejim turut berdepan waran tangkap sama.
Pada 21 Ogos 2013, kerajaan Syria menggunakan senjata kimia di Ghouta Timur, membunuh lebih 1,400 orang awam.
Ghouta Timur mengalami sekatan paling ketat dan penggunaan senjata yang meluas oleh kerajaan Syria pada 2018.
Pembangkang terpaksa berpindah pada April 2018 di bawah perjanjian paksaan dengan Damsyik dan Russia.- ANADOLU










