NEW YORK: Perhimpunan Agung PBB memilih Denmark, Greece, Pakistan, Panama dan Somalia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan untuk penggal 2025-2026 bermula 1 Januari tahun depan.
Majlis Keselamatan terdiri daripada 15 ahli, lima darinya adalah China, Perancis, Russia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Dikenali sebagai P5, negara itu mempunyai kuasa untuk memveto mana-mana resolusi, termasuk mengenai keanggotaan baharu PBB dan calon untuk jawatan Setiausaha Agung.
Baki 10 ahli pula dipilih untuk tempoh dua tahun, dengan lima negara anggota akan diganti setiap tahun.
Untuk dipilih, calon mesti menerima sekurang-kurangnya dua pertiga undi untuk kerusi itu, namun ia boleh menimbulkan kesukaran jika terdapat dua calon sepadan.
Bagaimanapun, lima ahli baharu dipilih tanpa bertanding, dengan Denmark memperoleh 184 undi, diikuti Panama (183), Pakistan dan Greece masing-masing 182 undi serta Greece (179).
Negara baharu itu akan menggantikan Ecuador, Jepun, Malta, Switzerland dan Mozambique.
Sebelum ini, Pakistan pernah berkhidmat sebanyak tujuh kali di majlis itu, Panama lima, Denmark empat, Greece dua kali dan Somalia sekali.
Majlis Keselamatan merupakan satu daripada enam organ utama PBB, yang dipertanggungjawabkan untuk mengekal keamanan dan keselamatan antarabangsa, mengesyorkan kemasukan ahli baharu serta meluluskan sebarang perubahan dalam Piagam PBB.
Kuasanya juga termasuk menubuhkan operasi pengaman, mengenakan sekatan antarabangsa dan membenarkan tindakan ketenteraan.
Ia juga adalah satu-satunya badan PBB yang resolusinya membawa kuasa undang-undang antarabangsa dan mengikat semua negara anggota.
Kerusi untuk 10 ahli tidak tetap diperuntuk berdasarkan kumpulan serantau, Afrika diwakili tiga ahli, Amerika Latin, Caribbean, Asia-Pasifik, Eropah Barat dan lain-lain masing-masing dua orang, serta kumpulan Eropah Timur satu.
Secara tradisinya, salah satu kerusi yang diperuntukkan kepada Kumpulan Asia-Pasifik atau Afrika diisi oleh negara Arab, berselang-seli antara kedua-duanya.- ARAB NEWS










