KUBANG PASU: Tidak hanya baka tempatan tetapi lembu-lembu baka ‘kayangan’ antara haiwan pilihan untuk dijadikan korban sempena Hari Raya Aidiladha terutamanya oleh golongan berkemampuan dan kenamaan.
Pengurus Fatimah MZ Agro Farm, Mohamad Alias Zainol Abidin berkata, lembu-lembu jenis brahman, charolais dan limosin sedang menjadi perhatian kerana jumlah daging yang banyak.
Sehubungan itu, katanya, golongan kenamaan berpeluang untuk mengedarkan lebih banyak daging kepada lebih ramai orang ketika menunaikan ibadah tersebut.
“Disebabkan permintaan daripada pembeli, kami mula membawa masuk lembu-lembu jenis brahman, charolais dan limosin sejak tiga tahun lalu dari Australia.
“Biasanya lembu-lembu jenis ini menjadi pilihan golongan kenamaan sempena Aidiladha. Namun tahun ini, ada juga sebuah keluarga yang tinggal berdekatan sini menempah lembu tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di ladangnya di Batu 13, Jalan Sintok di sini semalam.
Mohamad Alias berkata, lembu jenis brahman dan charolais dianggarkan berharga lebih RM10,000 seekor manakala untuk baka limosin pula sekitar RM12,000 seekor.
Katanya, selain lembu-lembu jenis ‘sado’ itu, syarikatnya turut menawarkan lebih 200 ekor lembu baka tempatan sebagai pilihan mereka yang berhajat menunaikan ibadah korban.
“Lembu-lembu bersaiz besar dari tiga jenis itu perlu diasingkan daripada baka tempatan. Jika tidak, lembu-lembu itu berpotensi mencederakan lembu tempatan yang bersaiz lebih kecil,” katanya.
Menurut Mohamad Alias, syarikatnya turut menyediakan lokasi penyembelihan di ladang, pembungkusan serta pengagihan kepada golongan asnaf bagi memudahkan mereka yang berhajat menunaikan ibadah korban.
“Semua proses boleh diuruskan oleh kakitangan kami yang terlatih. Pihak yang melaksanakan ibadah korban boleh datang melihat sendiri proses penyembelihan dan membawa pulang dagingnya untuk diagihkan,” katanya. – UTUSAN










