Lebih separuh kanak-kanak miskin tidak cukup makan

Lebih separuh kanak-kanak miskin di PPR tidak cukup makan

PPR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 52 peratus kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan di 16 buah projek perumahan rakyat (PPR) di ibu negara makan kurang daripada tiga kali sehari sekali gus mendedahkan mereka pada masalah tidak cukup zat dan nutrisi.

Antara risiko utama kepada kanak-kanak yang tidak mendapat nutrisi lengkap adalah masalah bantut.

Menerusi kajian dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), satu daripada empat ketua isi rumah dan isi rumah diketuai wanita mengatakan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menyediakan makanan berkhasiat.

Angka ini lebih tinggi dalam kalangan isi rumah diketuai orang kurang upaya (OKU) dengan hampir satu daripada tiga menyatakan pendapatan mereka hampir tidak memadai untuk menyediakan makanan berkhasiat dengan cukup.

Pensyarah Kanan dan Pakar Pemakanan dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohd. Razif Shahril berkata, sekiranya situasi ini berterusan, Malaysia bakal berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan yang kritikal.

“Kurang pengambilan nutrien penting seperti protein, vitamin D, vitamin A, vitamin C dan mineral seperti zat besi dan kalsium boleh menyebabkan pertumbuhan dan perkembangan terbantut pada kanak-kanak dan remaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kajian bertumpu pada tinjauan dibuat selepas pandemik Covid-19 yang dijalankan dari 14 Oktober hingga 16 November 2023 melibatkan 755 isi rumah berpendapatan rendah di perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

Sementara itu, pensyarah dan penyelaras Bahagian Antropologi dan Sosiologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Khairuddin Mohd. Sallehuddin berkata, situasi itu turut akan membawa kesan negatif kepada kemajuan negara.

Katanya, produktiviti tenaga kerja semakin rendah kerana mengalami masalah kekurangan nutrisi dan cenderung untuk menjadi dewasa dengan tahap kesihatan yang lebih rendah.

“Pekerja akan mudah sakit dan lebih kerap mengambil cuti sakit, sekali gus kurangkan jam bekerja berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN