JOHOR BAHRU: Lapan ahli kongsi gelap termasuk tujuh juvana dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencederakan tiga remaja berusia 15 tahun yang enggan menyertai kumpulan tersebut serta mencabul kehormatan mangsa, dua minggu lalu.
Seorang daripada mereka, Lim Jian Yau, 20, dijatuhi hukuman denda RM4,200 atau penjara setahun selepas mengaku bersalah kerana mencederakan tiga remaja yang enggan menyertai kongsi gelap disertainya.
Majistret, Hidayatul Syuhada Samsudin memerintahkan hukuman berkenaan selepas Jian Yau mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul tiga mangsa di kawasan semak belakang taman permainan di Taman Mutiara Rini, Skudai, pada pukul 8 malam, 15 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Jason Tan Ka Yan dan Mohamed Imran Mohamed Sam.
Sementara itu, tujuh juvana berusia antara 15 hingga 18 tahun pula mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan kerana mencederakan dan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan mangsa selepas semua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.
Mereka didakwa mencederakan tiga mangsa dengan memukul, mencabul kehormatan serta menyebabkan kecederaan menggunakan senjata batang PVC yang boleh menyebabkan kematian di belakang gelanggang futsal Taman Keindahan, Skudai, kira-kira 7 malam, 15 Jun lalu
Mereka didakwa di bawah Seksyen 323, Seksyen 354 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang menyebabkan mereka boleh dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau menjalani perintah masyarakat atau membayar denda atau bon berkelakuan baik berserta syarat mahkamah atau dilepaskan dengan amaran.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Musa, manakala peguam sama turut mewakili ketujuh-tujuh remaja berkenaan.
Mahkamah kemudian memerintah setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain dihalang menganggu mangsa dan saksi sepanjang kes dibicarakan.
Nur Fatin kemudian menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN










