Lantik panel bebas kaji Zon Bebas Kenderaan

Lantik panel bebas kaji Zon Bebas Kenderaan

KHOO POAY TIONG bercakap kepada pemberita selepas sidang akhbar KLAS Parlimen Kota Melaka di Kota Laksamana, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri dicadang melantik panel penilai bebas bagi menjalankan kajian keberkesanan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di sekitar Banda Hilir di sini.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, langkah itu penting untuk memastikan semua pihak yang terkesan dapat menyuarakan pandangan secara adil dan tidak berat sebelah.

Katanya, penyelesaian bersama perlu dicapai bagi mengelakkan isu yang dihadapi para peniaga bertambah parah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya difahamkan lebih 1,800 tandatangan telah diserahkan kepada wakil Ketua Menteri. Jadi kerajaan negeri perlu bertindak dan mengkaji petisyen tersebut.

“Saya cadangkan lantik satu panel bebas seperti pihak universiti untuk buat kajian keberkesanan ZBK bagi memastikan penilaian yang lebih adil sebelum dibentangkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Parlimen Kota Melaka di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan satu petisyen untuk membatalkan pelaksanaan ZBK telah diserahkan kepada kerajaan negeri.

Petisyen yang dilancarkan pada awal bulan lalu itu berjaya mengumpulkan lebih 1,800 tandatangan peniaga, wakil persatuan dan pekerja yang terkesan akibat penutupan serta perubahan arah jalan.

Tambah Poay Tiong, selain peniaga, komuniti setempat turut terkesan dengan pelaksanaan ZBK.

“Contohnya penduduk Kampung Pantai yang hendak ke Bukit Cina terpaksa melalui jalan yang lebih jauh berbanding hanya perlu melalui Jambatan Chan Koon Cheng. Masalah ini berlaku sejak arah jalan di sekitar kawasan itu berubah.

“Saya harap kerajaan negeri dapat mencari satu penyelesaian menang-menang antara pihak terlibat. Jangan kerana mahu mengejar kehadiran pelancong dalam tempoh setahun ini menyebabkan rakyat menanggung akibatnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×