Koloni warga asing Bandar Sultan Suleiman digempur

Koloni warga asing Bandar Sultan Suleiman digempur

SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika operasi serbuan dekat sebuah flat di Bandar Sultan Suleiman, Klang, Selangor. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kawasan perumahan flat Bandar Sultan Suleiman di sini, yang tular sebagai koloni warga asing digempur Jabatan Imigresen Selangor secara besar-besaran petang semalam.

Ketika serbuan, kebanyakkan mereka menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermain bola sepak dan membeli belah di pasar malam kawasan tersebut sebelum cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Malah, warga asing termasuk wanita itu bertempiaran melarikan diri termasuk sanggup bersembunyi di bawah kenderaan bagi mengelak dicekup.

Cubaan itu bagaimanapun gagal membuahkan hasil apabila kawasan itu dikepung dan dikawal ketat pasukan penguat kuasa Imigresen termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), kira-kira pukul 5 petang.

Pengarah Imigresen negeri, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, Ops Bandar Sultan Suleiman itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama tiga bulan mengenai lambakan warga asing di taman perumahan tersebut.

Menurutnya, serbuan itu juga hasil aduan dan pendedahan penduduk menerusi aplikasi TikTok yang rimas dengan kehadiran migran terutama pada hujung minggu.

“Siasatan awal mendapati warga asing itu rata-ratanya bekerja di kilang kawasan sekitar dan tinggal di flat tersebut. Justeru, kita menjalankan serbuan bagi memeriksa secara menyeluruh kesalahan Imigresen yang dilakukan mereka,” katanya selepas operasi tersebut.

Tambah Khairrul Aminus, setakat ini seramai 1,700 warga asing ditahan bagi proses dokumentasi.

“Pemeriksaan awal mendapati beberapa kesalahan dikesan antaranya tinggal lebih masa, tiada permit sah dan menyalahgunakan pas,” katanya.

“Namun, mereka antaranya warga Indonesia, India, Myanmar dan Nepal, tidak kesemuanya ditahan berikutan proses dokumentasi masih dijalankan ketika ini,” jelasnya.

Sementara itu, seorang Wanita Indonesia dikenali sebagai Khaly, 39, yang ditahan dalam operasi tersebut mendakwa, dia menjadi PATI selepas ditipu ejen yang menjanjikan pekerjaan sebagai ‘cleaner’ (pekerja pembersihan).

Menurutnya, dia memasuki negara ini menerusi ejen pekerjaan dengan bayaran sebanyak lima juta rupiah atau RM1,500 pada Disember tahun lalu.

“Apabila tiba di Malaysia, saya bagaimanapun ditipu ejen berkenaan yang menjanjikan kerja sebagai cleaner.

“Sepanjang tempoh itu, saya terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi pembantu kedai makan dan menyewa bilik berharga RM400 sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN