BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membubarkan Kabinet Perang yang merangkumi enam anggota, kata pegawai Israel pada Isnin.
Pembubaran itu adalah satu langkah yang dijangka berikutan pengunduran bekas jeneral berhaluan tengah, Benny Gantz pada awal bulan ini.
Netanyahu dijangka mengadakan rundingan mengenai perang Gaza dengan sekumpulan kecil jemaah menteri, termasuk Menteri Pertahanan, Yoav Gallant dan Menteri Hal Ehwal Strategik, Ron Dermer yang pernah menganggotai Kabinet Perang.
Langkah itu diumumkan ketika utusan khas Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein melawat Baitulmuqaddis, dalam usaha meredakan keadaan di sempadan yang dipertikaikan dengan Lubnan, ketika Israel mendakwa ketegangan dengan Hezbollah mengheret wilayah itu ke dalam konflik yang lebih meluas.
Tentera Israel berkata, seorang pegawai kanan terbunuh dalam serangan roket dan peluru berpandu Hezbollah di kawasan Selaa di selatan Lubnan.
Tentera juga berkata, operasi diteruskan di bahagian selatan Gaza, ketika pasukannya memerangi pejuang Hamas di kawasan Tel Sultan di barat Rafah serta kawasan tengah wilayah.
Lawatan Hochstein dipercayai berikutan pertempuran yang semakin meningkat merentasi garisan antara Israel dan Lubnan, melibatkan konflik dengan Hezbollah dan perang di Gaza.
Netanyahu berdepan tuntutan daripada sekutu nasionalis-agama dalam gabungannya, iaitu Menteri Kewangan, Zebalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, untuk dimasukkan ke dalam Kabinet Perang.
Tindakan demikian dijangka meningkatkan ketegangan dengan rakan antarabangsa termasuk AS.
Pembubaran Kabinet Perang didakwa tidak memberi impak terhadap konflik kerana keputusan akan diserahkan kepada Kabinet keselamatan, tetapi kesan politik dijangka lebih ketara.
Kabinet itu dibentuk selepas Gantz menyertai Netanyahu dalam kerajaan perpaduan sewaktu permulaan perang Gaza pada Oktober, dan disertai rakan politiknya, Gadi Eisenkot dan Aryeh Deri, ketua parti agama Shas, sebagai pemerhati.
Gantz dan Eisenkot mengumumkan pengunduran daripada kerajaan Netanyahu baru-baru ini, atas faktor yang didakwanya sebagai kegagalan Netanyahu membentuk satu strategi dalam perang di Gaza.- REUTERS










