KULAI: Anak syarikat Johor Plantations Group Berhad (JPG), JPG Greenergy Ventures Sdn. Bhd., dianugerahkan status syarikat BioNexus oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, pengiktirafan itu menandakan pencapaian cemerlang syarikat berkenaan dalam mengubah sisa sawit menjadi biometana yang bernilai, selari dengan komitmen kerajaan bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050.
“Dengan kemajuan dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui, penjanaan biometana menerusi pemprosesan sisa juga sedang merintis jalan ke arah pengeluaran sumber tenaga yang bernilai lebih tinggi seperti biomethanol dan hidrogen.
“Oleh itu, pengiktirafan ini membolehkan syarikat seperti JPG terus membangunkan dan mencipta teknologi baharu yang boleh membawa Malaysia mencapai matlamat menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
“Bioteknologi juga merupakan satu pemudah cara yang bukan sahaja menyedia penyelesaian kepada pengurusan sisa namun juga menyumbang terhadap agenda yang lebih besar untuk dekarbonisasi,” katanya selepas melawat loji syarikat itu di Sedenak, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd. Khairul Fidzal Abdul Razak dan Pengarah Urusan JPG, Mohd. Faris Adli Shukery.
Lih Kang turut menggesa lebih banyak pemain industri memanfaatkan potensi pengurusan sisa untuk mempercepatkan agenda kelestarian di negara ini.
“Malaysia mempunyai kira-kira 450 kilang dengan 10 projek biogas yang serupa dengan JPG, dengan jumlah ini kita anggarkan dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 1.2 juta tan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Faris memberitahu, JPG komited menjadi sebahagian daripada pemain industri yang menyokong usaha mengurangkan pelepasan CO2 menerusi teknologi tenaga boleh diperbaharui.
“Status BioNexus ini meletakkan kami pada kedudukan baik untuk terus berinovasi dalam sektor bioekonomi negara,” jelasnya. – UTUSAN











