BAGAN DATUK: Penduduk bakal menerima manfaat daripada pembinaan jambatan sepanjang 2.8 kilometer yang menghubungkan Sungai Air Tawar di Sabak Bernam, Selangor ke Hutan Melintang yang dijadualkan siap pada Jun 2026.
Pembinaannya memberi manfaat kepada penduduk di lebih 30 buah kampung di Hutan Melintang yang dapat menjimatkan tempoh perjalanan, merancakkan lagi ekonomi dan pembangunan di kawasan mereka.
Seorang penduduk, Noor Aini Mohamad Abidin Haini, 39, berkata, apabila siap kelak, perhubungan di sempadan kedua-dua negeri menjadi lebih mudah.
Katanya, jambatan baharu itu juga dapat mengurangkan kesesakan di Jalan Simpang Empat di sini ke Sabak Bernam, selain mudah untuk ke pekan Sungai Air Tawar.
“Jambatan baharu ini akan merancakkan lagi ekonomi di kedua-dua daerah bersempadan. Perjalanan menjadi lebih cepat untuk Sabak Bernam dan Sungai Besar di Selangor,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Shamsul Anuar, 46, berkata, jambatan yang sedang dalam pembinaan itu terletak tidak jauh dari rumahnya dan bakal memudahkan perjalanan ke pekan Sabak Bernam atau ke Kuala Lumpur.
“Perjalanan menjadi lebih cepat dan menjimatkan minyak kenderaan. Jambatan ini memendekkan masa perjalanan dari Hutan Melintang ke Sungai Air Tawar Selangor yang hanya mengambil masa 10 minit atau 15 minit,” katanya.
Sebelum ini, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kemajuan fizikal projek Kerajaan Persekutuan itu melibatkan peruntukan RM219 juta, sudah mencapai tahap 28 peratus sejak kerja pembinaan pada tahun lalu. – UTUSAN









