JOHOR BAHRU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dicabar memendekkan tempoh memproses sijil halal kepada 15 hari berbanding 23 hari sekarang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia susulan kejayaan Jakim mempercepatkan tempoh berkenaan daripada 30 menjadi 23 hari pada tahun lalu.
“Ini adalah kejayaan cukup baik dan tentunya apa yang kita mahu selepas Halal On Track (HOT) ini dilancarkan, diharapkan lebih banyak kelulusan permohonan sijil halal dapat dilakukan.
“Saya sudah arahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk peruntukan RM5 juta setahun bantu pemohon (pensijilan halal) mengikuti model bimbingan Jakim supaya permohonan pensijilan halal dapat dikeluarkan dalam tempoh singkat.
“Jika Jakim dibantu dengan model bimbingan ini sudah pasti sijil halal dapat diberi kelulusan bukan setakat 23 hari, malah saya cabar Jakim dapat keluarkan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas program perasmian Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini semalam.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 kepada 30 hari.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yakin kecekapan Jakim mampu memendekkan pemprosesan sijil halal menjadi 15 hari.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, i-Bimbing 2.0 yang dilancarkan mampu membantu usahawan menilai tahap kesediaan mereka sebelum memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sekali gus memendekkan proses pensijilan halal dikeluarkan.
“Selain itu, Hal-Cube yang dilancarkan hari ini (semalam) adalah inisiatif Bank Islam disokong Jakim bagi mempersiapkan usahawan memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Hal-Cube menawarkan usahawan premis produksi mampu milik dan lengkap berbentuk dapur kontena sebagai usaha memudahkan mereka memenuhi kriteria digariskan Jakim, sekali gus mempercepatkan pengeluaran sijil halal,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyeru pemain industri halal negara merebut peluang memasarkan produk halal berkualiti ke China yang mempunyai permintaan tinggi dan semakin berkembang serta mendapat tempat dalam kalangan rakyatnya.
Katanya, kesediaan itu disampaikan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang dan Timbalan Perdana Menteri, Ding Xuexiang, pada lawatan rasmi 11 hari beliau ke republik berkenaan bermula 22 Mei hingga 1 Jun lalu.
“Dalam lawatan rasmi saya ke China baru-baru ini, kerajaan China melalui syarikat Fortune 500 dan syarikat lain di sana, bersedia nak bantu memasarkan produk halal Malaysia kepada 1.4 bilion penduduk di republik berkenaan,” katanya. – UTUSAN









