ISRA Corner, MySIF Blockchain perkasa kewangan Islam - Utusan Malaysia

ISRA Corner, MySIF Blockchain perkasa kewangan Islam

Zulkifli Hasan berucap merasmikan International Shariah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) Corner dan Malaysia Islamic Social Finance (MySIF) Blockchain di Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudut Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) atau ISRA Corner dan Rantaian Blok Kewangan Sosial Islam Malaysia (MySIF) atau MySIF Blockchain disifatkan sebagai usaha memperkasakan ilmu kewangan Islam.

Perkara itu ditekankan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam majlis pelancaran yang diadakan di Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

“Majlis pada hari ini merupakan manifestasi kerjasama dan sinergi yang amat bermakna antara universiti awam dan swasta, institusi kewangan, dan pemain industri dalam usaha memperkasakan ilmu dan tata kelola kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, ISRA Corner merupakan kerjasama antara USIM dengan Universiti International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) bagi memperkasakan pengetahuan berkaitan kewangan Islam dan menambahkan sumber pendidikan kewangan Islam.

Kenyataan sama memaklumkan, ISRA Corner itu akan dijadikan sebagai platform pelaksanaan program, bengkel, seminar dan lain-lain aktiviti.

“ISRA Corner membantu meningkatkan tahap kebolehcapaian akses kepada sumber maklumat terkini berkaitan kewangan Islam menerusi platform repositori digital iaitu Islamic Finance Knowledge Repository (I-FIKR).

“Selain itu ISRA Corner juga menyediakan koleksi bahan maklumat bercetak seperti buku, jurnal dan sebagainya terbitan Universiti INCEIF,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, MySIF Blockchain adalah produk hasil inovasi teknologi yang dibangunkan bersama oleh para penyelidik dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM, dengan kerjasama pihak industri.

“Projek ini memberi tumpuan kepada instrumen kewangan sosial Islam merangkumi wakaf, zakat, sedekah, infaq, dan pembiayaan mikro.

“Platform MySIF Blockchain yang mengguna pakai sistem kontrak pintar mampu meningkatkan tata kelola pengurusan institusi kewangan sosial Islam dan ketulusan proses pungutan dan pengagihan instrumen kewangan sosial Islam.

“Dengan adanya sistem transaksi real time, segala transaksi kutipan dan agihan zakat, wakaf, sedekah, infaq, serta pembiayaan mikro dapat diikuti dan diselidiki secara langsung dan telus,” katanya.

Justeru, program yang diterajui Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM, Perpustakaan USIM dan Islamic Finance and Wealth Management Institute (IFWMI) USIM itu diharapkan mampu memberi manfaat dan impak yang positif kepada negara secara umumnya dan USIM secara khususnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN