KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan injunksi Mohd. Aziz Abu Naim berkait notis pengosongan luar jangka Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berkuatkuasa 19 Jun lalu sebagaimana diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Mohd. Azizi ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pendengaran kes tersebut akan berlangsung pada pukul 4.30 petang.
“Saya telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memohon perintah injunksi supaya kekosongan kerusi DUN Nenggiri dihentikan.
“Selain itu, saya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil sebarang langkah lanjut berhubung surat yang dikeluarkan Speaker DUN Kelantan sementara menunggu mahkamah membuat keputusan,” katanya.
Mohd. Azizi berkata, pengurusan kes ini telah ditetapkan pada 9 Julai.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula Rabu lalu.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima satu notis bertulis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 28 Jun bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) lalu, Mohd. Aziz yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menang dengan majoriti 815 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ab. Aziz.-UTUSAN










