Inisiatif kaji semula kerangka perundangan e-dagang - Utusan Malaysia

Inisiatif kaji semula kerangka perundangan e-dagang

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berucap merasmikan Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di Sunway Resort Hotel di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: FATIN UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil inisiatif dengan melaksanakan semakan semula kerangka perundangan sedia ada seperti Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Peraturan Perlindungan Pengguna (Transaksi Perdagangan Elektronik) 2012 seiring dengan kemajuan dan perkembangan teknologi semasa.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN sedang melaksanakan Kajian Semula Perundangan e-dagang bersama pasukan perunding pada bulan Mei 2024 dan dijangka selesai pada suku kedua tahun 2025.

Menurutnya, usaha semakan semula kerangka perundangan sedia ada ini selaras dengan hala tuju kerajaan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, National E-Commerce Strategic Roadmap (NESR), Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda Ekonomi MADANI.

“Satu kerangka perundangan baharu bagi mengawal selia sektor e-dagang dengan lebih berkesan dijangka akan diperkenalkan pada suku ketiga tahun 2025.

“Usaha ini sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi memastikan satu kerangka perundangan e-dagang yang lebih komprehensif sejajar dengan perkembangan teknologi dan tuntutan semasa,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 Sunway Resort Hotel, di sini hari ini.

Berdasarkan Laporan Malaysia Digital Economy 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor e-dagang di Malaysia sedang berkembang dengan pesat.

Pada tahun 2021, sektor e-dagang di Malaysia telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM1,037.2 billion dan telah meningkat sebanyak 6 peratus kepada RM1,099.7 billion pada tahun 2022.

Jumlah pendapatan ini telah melepasi angka satu trillion buat pertama kalinya sejak tahun 2021.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pihaknya menyedari bahawa perkembangan pesat sektor e-dagang ini telah mewujudkan cabaran yang besar kepada pemain industri dan pengguna.

Katanya, sehingga Mei 2024, KPDN telah menerima sebanyak 5,094 aduan pengguna berkaitan transaksi e-dagang daripada 19,937 keseluruhan aduan yang diterima sejak Januari 2024.

“Aduan berkaitan transaksi atas talian ini merupakan aduan pengguna yang tertinggi atau 25 peratus berbanding aduan lain yang dicatatkan oleh KPDN pada masa ini,” jelasnya.

Selain itu, Armizan berkata, Shopee Seller Summit 2024 ini melibatkan penyertaan hampir 1,000 usahawan atas talian di platform Shopee daripada seluruh negara.

Bertemakan “Beyond the Cart: Crafting Connections for Long Term Business Growth”, program ini bertujuan membuka peluang kepada para usahawan tempatan di bawah platform Shopee untuk mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan perkembangan teknologi baru perniagaan atas talian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN