PETALING JAYA: Kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan juga boleh didakwa di bawah seksyen lain berkaitan kematian kanak-kanak autisme itu.
Peguam, Fahmi Abd. Moin berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak polis bahawa pasangan suami isteri itu akan didakwa hari ini, namun tidak dapat mengesahkan seksyen mana pertuduhan dikemukakan.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya sama ada kedua-duanya boleh didakwa di bawah seksyen lain daripada Seksyen 302 berdasarkan bukti yang diperolehi polis.
“Saya dimaklumkan oleh polis pukul 5.30 pagi tadi bahawa kedua-duanya akan didakwa hari ini.
”Saya tidak berniat mendahului pihak polis dan timbalan pendakwa raya, cuma saya dimaklumkan akan ada pertuduhan pagi ini,” ujarnya ketika ditemui pihak media di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Reman pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu tamat pagi ini. – UTUSAN










