Himpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ tidak beri kesan

Himpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ tidak beri kesan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak ter­kesan dengan sebarang cubaan untuk mengheret rakyat melalui perhimpunan bagi menyatakan protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana beliau melihat ajakan menyertai perhimpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ dijadualkan di hadapan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya itu hanya melibatkan kumpulan tertentu demi meraih agenda peribadi.

“Tidak (terkesan) sebab kita nampak ada tangan-ta­ngan ghaib di sebalik usaha ini, mungkin mereka risau ada siasatan terhadap mereka melibatkan ‘pulau berbatu-batu’ dari sini.

“Kumpulan ini menggerakkan agenda tertentu, jadi mereka bukan bersuara untuk rakyat. Saya nampak (himpunan ini) ada agenda tetapi kita tidak risau kerana rakyat faham usaha dan ikhtiar kerajaan sekarang ini adalah kerajaan bersedia untuk pembaharuan, menerima kritikan dan melakukan islah sedaya upaya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa mengesahkan, penganjur himpunan itu tiada permit da­ripada pemilik tuan tanah iaitu Perbadanan Putrajaya.
Bagaimanapun, penganjur men­dakwa mereka tetap akan meneruskan perhimpunan itu dan tidak terpengaruh dengan ‘ugutan’ daripada kerajaan me­lalui siasatan jawatankuasa pe­nganjur.

Oleh itu, Fahmi menasihati orang-orang tertentu khususnya ahli politik yang telah berusia agar bersara penuh dan tidak perlu nampak keterlibatan dalam menggerakkan agenda pihak-pihak berkenaan.

“Saya cukup hormat Datuk Seri Mustapa Mohamed setelah tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, beliau bersara.

“Saya rasa wajarlah mereka yang pernah terlibat atau kalah dalam pilihan raya, hilang deposit dan berusia senja, maka bersara penuhlah, janganlah nampak ada keterlibatan kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN