PETALING JAYA: Kerajaan perlu ‘menghentikan’ segera penghijrahan jurutera tempatan ke luar negara bagi memenuhi keperluan tenaga kerja syarikat asing yang akan melabur berbillion ringgit di negara ini.
Presiden Persatuan Jurutera Malaysia (MAE), Datuk Ir. Ts. Feroz Hanif Mohamed Ahmad berkata, bidang kejuruteraan khususnya industri elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia yang berkembang pesat dengan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) memerlukan ramai jurutera berkemahiran tinggi.
“Permintaan tinggi ini mungkin melebihi kadar penghasilan graduan kejuruteraan menyebabkan ada jurutera mungkin mencari peluang pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji dan prospek kerjaya yang lebih baik.
BERSAING
“Perkara ini dianggap sebagai brain drain yang boleh menyebabkan kekurangan tenaga kerja terutamanya jurutera dalam negara dan seterusnya menjejaskan kemampuan Malaysia untuk terus bersaing dalam industri E&E di peringkat global,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut statistik Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), seramai 235,550 jurutera berdaftar secara rasmi sehingga bulan ini.
Daripada angka tersebut, 202,864 terdiri daripada jurutera siswazah, 7,662 jurutera profesional dan 9,066 jurutera profesional dengan sijil perakuan amalan dengan 56,793 jurutera berdaftar dalam bidang industri E&E di Malaysia.
Angka-angka itu juga menunjukkan Malaysia masih kekurangan jurutera dalam usaha mencapai status negara pengeluar teknologi.
Setakat ini, sebanyak 61 institusi pendidikan tinggi (IPT) menawarkan 275 program kejuruteraan manakala 17 IPT menawarkan 77 program teknologi kejuruteraan. Bagi program diploma, 69 IPT menawarkan 261 program kejuruteraan.
Daripada program kejuruteraan yang ditawarkan, Malaysia menghasilkan hampir 6,100 jurutera dan 1,700 teknologi kejuruteraan setiap sesi program ijazah manakala peringkat diploma dianggarkan sekitar 13,800 orang juruteknik dilahirkan bagi setiap sesi yang mengambil masa tiga hingga empat tahun.
BERBAKAT
Feroz berkata, kerajaan juga perlu merangka strategi komprehensif untuk mengekalkan jurutera berbakat dalam negara seperti menyediakan insentif yang lebih menarik, meningkatkan gaji serta peluang kerjaya.
Katanya, tangga gaji bagi jurutera gred 41 ketika ini hanya RM2,500 dan bayaran itu terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan gaji jurutera yang ditawarkan di luar negara.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Jurutera Perunding Bumiputera Malaysia, Datuk Ir. Wan Nazari Wan Jusoh berkata, lepasan kejuruteraan memilih luar negara kerana peluang kerjaya yang lebih menarik serta gaji yang lebih tinggi.
Menurutnya, jika isu itu tidak ditangani, ia bakal memberikan kesan kepada keperluan tenaga mahir kerana banyak pelabur asing seperti Google dan Microsoft yang mahu memperluaskan pelaburan di Malaysia akan terjejas.
“Penghijrahan juga berlaku dalam kalangan jurutera berpengalaman yang berumur antara 35 hingga 45 kerana faktor peluang dan kadar upah yang lebih lumayan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
DIBERI KUASA
Selain itu, Wan Nazari berkata, Akta Jurutera 1967 perlu ditambah baik supaya Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) diberi kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan ekosistem kejuruteraan.
“Bukan sahaja kelakuan jurutera perlu diselia, bahkan perlakuan pasaran yang tidak mengikut etika profesional juga perlu diselia. Contohnya, terdapat majikan yang mengambil lepasan ijazah dengan bayaran gaji diploma. Ini menyebabkan pasaran jurutera terganggu,” katanya.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, berdasarkan trend semasa, Malaysia memerlukan antara 7,200 sehingga 8,000 jurutera mahir bagi sektor E&E setahun. – UTUSAN










