Gangguan bekalan air: Peniaga harap tiada pembelian panik

Gangguan bekalan air: Peniaga harap tiada pembelian panik

TONG air dan baldi dijual di kedai sekitar Shah Alam, Selangor susulan laporan akan berlaku gangguan bekalan air berjadual minggu depan. – UTUSAN/ MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peniaga barangan perkakasan rumah berharap tiada pembelian saat akhir dibuat pengguna untuk mendapatkan tong atau bekas air bagi meng­hadapi gangguan bekalan berja­dual yang dimaklumkan bermula pada Rabu hingga Khamis ini.

Seorang peniaga, Leong, 35, berkata, pengguna diharapkan membuat persiapan awal kerana tidak bercadang untuk menambah stok tong dan bekas air baharu pada saat-saat akhir kerana bimbang berdepan kesukaran untuk mendapatkannya.

“Pada mulanya memang bercadang untuk ambil stok tong tambahan. Tetapi, ketika ini belum ada pelanggan berpusu-pusu membeli tong air, baldi baharu. Jadi, lebih baik habiskan dahulu stok yang ada,” katanya ketika ditemui.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lebih tiga juta pengguna di sekitar Lembah Klang perlu bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan air berjadual susulan penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Sela­ngor Fasa 1 (SSP1) pada 5 Jun ini.

Antara kawasan yang terlibat adalah wilayah Gombak, Hulu Selangor, Klang, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Petaling dan Shah Alam.

Penyelenggaraan tersebut akan menjejaskan bekalan di 664 kawasan selama kira-kira 51 jam berikutan terdapat tiga peralatan iaitu dua injap dan satu switchgear perlu diganti sejak lebih 30 tahun LRA tersebut beroperasi.

Sementara itu, tinjauan di kedai-kedai perkakasan rumah sekitar kawasan ini mendapati peniaga-peniaga mula meletakkan bekas air dan tong di hadapan kedai mereka untuk dijual bagi kegunaan simpanan air sepanjang gangguan bekalan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ah Lim, 45, berkata, walaupun menjelang beberapa hari sebelum penutupan bekalan air sementara berlaku, tiada pembelian panik berlaku, namun berharap ia tidak terjadi pada saat akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN