MANILA: Filipina memfailkan tuntutan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu, ke atas pelantar benua lanjutan (ECS) di Laut China Selatan.
“Hari ini (Sabtu) kami menjamin masa depan kami dengan membuat manifestasi hak eksklusif untuk meneroka dan mengeksploitasi sumber semula jadi dalam kelayakan ECS kami,” kata Penolong Setiausaha Kementerian Luar bagi Hal Ehwal Maritim dan Laut, Marshall Louis dalam satu kenyataan.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.
Sebahagian daripada laluan strategik itu, di mana perdagangan bernilai AS$3 trilion (RM14 trilion) direkodkan setiap tahun, dipercayai kaya dengan minyak, gas asli dan hidupan laut.
Pada 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap mendapati tuntutan menyeluruh China tidak mempunyai asas undang-undang, namun Beijing menolak keputusan itu.
Setakat ini, tiada respons segera daripada Kedutaan China di Manila untuk menjawab tuntutan difailkan Filipina dengan PBB itu.
Filipina berusaha untuk mendaftarkan haknya terhadap ECS di Wilayah Palawan Barat yang menghadap Laut China Selatan.
Kementerian Luarnya berkata, permohonan yang disahkan oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr, dibuat berikutan kajian teknikal dan saintifik mengenai ECS di Laut Filipina Barat, merujuk sebahagian daripada Laut China Selatan dalam zon ekonomi eksklusif seluas 200 batu nautika.
Menurut Filipina, ia menggunakan haknya di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut untuk menetapkan had luar ECS, yang terdiri daripada dasar laut dan tanah bawah kawasan dasar laut sehingga 350 batu nautika.
Pada 2012, PBB mengesahkan Benham Rise yang terletak di luar pantai timur Filipina dan tidak menjadi pertikaian China, sebagai sebahagian daripada ECS negara itu.- CNA









