ISKANDAR PUTERI: Tunku Mahkota Ismail menyifatkan pemain Selangor FC, Faisal Halim sebagai pemain yang baik, namun bukan ancaman bagi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Justeru, pemilik JDT itu menegaskan, tiada sebab teori konspirasi mengaitkan baginda dengan serangan simbah asid terhadap pemain sayap kebangsaan itu.
“Pertama sekali, Faisal Halim ini merupakan budak yang baik, tapi saya tidak tahu hidup peribadi dia, apa yang berlaku terhadapnya merupakan satu tindakan yang wajar kita tentang.
“Tetapi, ada apa kena mengena dengan saya? Ada pihak yang cakap Tunku Mahkota Ismail adalah ‘mastermind’ (simbah asid). Kalau saya nak habiskan orang, saya ada sasaran yang lebih besar dalam negara yang mengambil duit rakyat, orang yang bertanggungjawab rompak hasil duit rakyat, orang ini lebih penjenayah bagi saya.
“Faisal Halim ini cuma pemain bola sepak, takkan orang Selangor tak boleh fikir dengan cara rasional, saya nak habiskan dia buat apa?,” titah baginda pada sesi podcast secara langsung sempena Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.
Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan pemulihan setelah disimbah asid oleh individu tidak dikenali, bulan lalu.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, skuad Harimau Selatan tidak berdepan tugas sukar menewaskan Selangor FC dalam tiga perlawanan musim lalu dengan Faisal Halim diturunkan dalam semua saingan itu.
Pemangku Sultan Johor itu mengakui menghormati pemain kebangsaan tersebut yang digambarkan sebagai seorang yang peramah dan pemain berkualiti.
“Tapi perkara macam ini orang cakap saya arahkan polis buat macam-macam, kalau saya nak buat kerja yang bukan-bukan, buat apa saya nak pakai polis. Jika saya nak buat apa-apa, sudah tentu saya pakai entiti luar negara, saya pun ada kawan-kawan juga dan untuk kes simbah ini, saya pun berasa terhina juga apabila dikaitkan dengan kes tersebut.
“Macam tak ada kerja mengaitkan saya dengan semua insiden. Jadi, sekarang ini semua salah Tunku Mahkota Ismail, bas yang dinaiki pemain Selangor FC diserang di Jakarta pun salah Tunku Mahkota Ismail ke,” soal baginda. – UTUSAN










