Kelantan cadang naikkan denda kepada RM50,000

Enakmen Hiburan: Kelantan cadang naikkan denda kepada RM50,000

KELANTAN meluluskan draf Rang Undang-undang Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 bagi menggantikan Enakmen Hiburan 1998. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meluluskan draf Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 bagi menggantikan Enakmen Hiburan 1998.

Antara penambahbaikan dicadangkan ialah denda bagi kesalahan dalam RUU berkenaan dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, RUU berkenaan dijangka akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Draf RUU tersebut sudah diangkat untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Ne­geri Kelantan pada 8 Mei lalu dan disahkan pada 15 Mei,” katanya menjawab soalan Norsham Sulaiman (Pas-Semerak) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini, semalam.

Mohamed Fadzli memberitahu, pada masa sama Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan sedang mengkaji serta menggubal peraturan-peraturan di bawah RUU tersebut.

Katanya, cadangan penggu­balan RUU itu bagi menambah baik Enakmen Kawalan Hiburan sedia ada yang telah berkuat kuasa selama dua dekad sejak 15 Jun 1999.

“Antara penambahbaikan di­buat adalah larangan aktiviti hi­buran yang mengandungi, mem­promosi, mempunyai atau diselitkan dengan unsur bercanggah dengan akhlak, tatasusila dan moral.

“Turut digubal adalah lara­ngan terhadap aktiviti hiburan yang menyokong atau menormalisasikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), memecah belah keharmonian dan perpaduan kaum serta menghina agama,” ujar­nya.

Mohamad Fadzli berkata, RUU Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 turut menggariskan larangan terhadap percampuran serta pergaulan bebas antara lelaki dan perem­puan tanpa batasan.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Fadzli berkata, kadar denda bagi kesalahan dalam RUU berkenaan turut dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000.

“Ia bagi memberi pengajaran kepada individu atau perbada­nan yang menganjurkan akti­viti hiburan supaya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN