DUN Nenggiri: SPR tunggu keputusan mahkamah

DUN Nenggiri: SPR tunggu keputusan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya boleh membuat keputusan sama ada perlu diadakan Pilihan Raya Negeri (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen selepas kekosongan kerusi disahkan oleh mahkamah.

Hal itu kerana, SPR adalah badan bebas yang tidak menyebelahi mana-mana pihak berkepentingan khususnya parti politik, namun pada masa sama menghormati hak seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen untuk menentukan statusnya di mahkamah.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, dalam isu membabitkan ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim, beliau berhak membawa bantahannya ke mahkamah disebabkan Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah membuat pengumuman kekosongan kerusi itu berdasarkan interpretasinya terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan hak Mohd. Amar untuk membuat intrepretasi tersebut kerana ia adalah tanggungjawabnya untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi, namun sebarang kekusutan terhadap undang-undang hanya boleh dileraikan di mahkamah.

“Dalam isu DUN Nenggiri ini, penyandang membawa pengisytiharan kekosongan kerusinya itu ke mahkamah, jadi dan tindakan itu adalah sebaik-baiknya, namun bagi SPR sebarang keputusan mahkamah adalah muktamad yang akan dipatuhi.

“Sekiranya, keputusan berpihak kepada Speaker, maka SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk mengisi kekosongan tersebut dalam masa 60 hari.

“Jika keputusannya adalah sebaliknya, SPR juga perlu mengadakan mesyuarat khas sekali lagi bagi mematuhi apa jua keputusan dibuat oleh mahkamah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mohd. Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan pada 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai hilangnya keahlian Mohd. Azizi daripada parti tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN