MOSCOW: Sekurang-kurangnya dua maut dan 40 yang lain cedera selepas sebuah kereta api penumpang tergelincir di Komi, wilayah utara Russia, hari ini.
Syarikat Russian Railways dalam kenyataan di Telegram mengesahkan dua mayat ditemukan di tapak kemalangan kereta api penumpang yang dalam perjalanan dari Vorkuta ke Novorossiysk.
Kementerian Kesihatan Russia memaklumkan, 40 mangsa dilaporkan cedera dalam kemalangan itu, dengan tujuh daripadanya kritikal.
Pada awalnya, syarikat kereta api itu melaporkan 70 orang cedera, namun kebanyakannya hanya mengalami lebam dan luka ringan.
Kereta api itu mempunyai 14 gerabak, dengan sembilan daripadanya terbalik.
Menurut Russian Railways, terdapat sejumlah 232 penumpang di dalam kereta api berkenaan.
Setakat ini, punca sebenar kemalangan belum diketahui, tetapi kemungkinan disebabkan oleh hujan lebat yang menyebabkan tebing jalan kereta api tergelincir.- ANADOLU










