COPENHAGEN: Penjualan produk mi segera atau ramen dari Korea Selatan ditarik balik di Denmark kerana terlalu pedas dan boleh menimbulkan risiko keracunan akut kepada pengguna.
Pentadbiran Veterinar dan Makanan Denmark mengumumkan di laman web pihaknya menarik balik produk mi ramen jenis Buldak 3x Spicy Hot Chicken, 2x Ayam Pedas Berempah dan Hot Chicken Stew Samyang.
Penarikan produk Samyang Foods itu dikaitkan dengan tahap capsaicin yang tinggi, iaitu ekstrak lada cili yang memberikan rasa terlalu pedas kepada mi.
“Institut Makanan (Universiti Teknikal Denmark) menilai tahap jumlah capsaicin dalam pek ketiga-tiga produk mi itu adalah sangat tinggi sehingga menimbulkan risiko pengguna mengalami keracunan akut,” kata agensi makanan itu.
Samyang Foods berkata, ini adalah kali pertama produknya yang dieksport ke seluruh dunia ditarik balik atas sebab terlalu pedas.
“Kami faham pihak berkuasa makanan Denmark menarik balik produk itu, bukan disebabkan masalah kualiti, tetapi kerana ia terlalu pedas,” katanya.
Syarikat itu akan meneliti peraturan tempatan mengenai makanan yang dijual di Denmark sebelum memutuskan tindakan seterusnya.- AGENSI











