Calon UMNO PRK Nenggiri disenarai pendek, tunggu dimuktamad Biro Politik - Utusan Malaysia

Calon UMNO PRK Nenggiri disenarai pendek, tunggu dimuktamad Biro Politik

AHMAD ZAHID Hamidi (tengah) dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau di Maran, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: UMNO sudah pun menyenarai pendek beberapa calon yang boleh menang, diterima rakyat dan tokoh disukai pengundi untuk diangkat mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan yang dijadualkan pada 17 Ogos depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan lanjut akan diadakan dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li dan Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebelum senarai tersebut dibawa ke mesyuarat Biro Politik parti itu untuk dimuktamadkan.

“Saya fikir nama-nama yang sudah disenarai pendek itu memenuhi kriteria terutama daripada segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan ketiga, tokoh disukai oleh pengundi di Nenggiri.

“Saya hanya perlukan ‘endorsement, daripada Biro Politik sebelum diumumkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau di sini.

PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi itu disahkan Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd. Nik Amar Nik Abdullah pada 19 Jun setelah penyandangnya, Mohd. Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.

Difahamkan, tiga nama disenarai pendek oleh UMNO Gua Musang untuk diangkat kepada pimpinan parti tersebut sebagai calon PRK DUN Nenggiri.

Tiga nama terbabit adalah, Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.

Ketiga-tiga calon berkenaan dikatakan diputuskan pada mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah pun mengarahkan Barisan Nasional (BN) dan Badan Perhubungan UMNO Kelantan menggerakkan seluruh jentera parti itu ke Nenggiri.

“Saya yakin parti-parti komponen dalam kerajaan Perpaduan akan membantu calon UMNO yang mewakili BN sepanjang tempoh PRK berkenaan,” katanya.

Ditanya adakah Ku Li antara calon yang disenarai pendek, beliau berkata, pada hematnya, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu tentunya akan memikirkan calon tempatan dari Nenggiri sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×