RAU: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyifatkan latar belakang akademik meskipun penting, namun bukan asas utama penilaian seorang calon yang diketengahkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Katanya, beliau sedar isu latar pendidikan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap mula dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH), namun ia tidak sama sekali memberi kesan kepada parti itu.
Ujarnya, meskipun calon ditampilkan PH mempunyai latar pendidikan tinggi yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD), namun calon diketengahkan PN dilihat lebih dekat dengan rakyat di kawasan berkenaan.
“Akademik itu diperlukan tetapi dalam Islam, ia mempunyai penilaian lain iaitu seorang beramanah dan bertanggungjawab dengan Allah SWT dengan apa yang dilakukan.
“Sahabat-sahabat dulu pun tidak ada SRP (Sijil Rendah Pelajaran), PhD, namun apabila amanah dengan Islam, darjat mereka diangkat oleh Allah SWT.
“Saya yakin walaupun calon kita tidak ada PhD, namun sifat amanah dengan rakyat akan dinilai oleh pengundi di Sungai Bakap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Isu kelayakan akademik calon PN dari Pas, Abidin Ismail, 56, mula menjadi perdebatan apabila dia diberitakan memiliki sijil Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian atau ISO sedangkan sijil tersebut diberikan kepada organisasi atau syarikat sahaja, bukannya individu.
Bagaimanapun, selepas itu, bapa kepada dua orang anak itu tampil menjelaskan isu sebenar dan mendakwa terdapat kekeliruan ketika perkara itu diumumkan dalam majlis pengisytiharan calon PN.
Dalam PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini, Abidin bakal berdepan Dr. Joohari Ariffin, 60, yang merupakan pemegang PhD dan pernah menjawat jawatan Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara sebelum meletak jawatan tahun lalu.
PRK kerusi DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff dari PN pada 24 Mei lalu akibat radang dalam perut.
Berikutan itu, PN memilih Abidin merangkap Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal yang juga pembantu kepada Allahyarham Nor Zamri sebagai calon di situ.
Sementara itu, Hashim berkata, isu akademik calon yang cuba ditonjolkan PH tidak akan menggugat PN di sebalik pelbagai isu berbangkit membabitkan Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN










