Buka kembali CIQ Kuala Perlis

Buka kembali CIQ Kuala Perlis

ABU Bakar Hamzah meninjau CIQ Kuala Perlis yang dicadang dibuka semula dan mewujudkan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis ke Satun, Thailand di Kuala Perlis, kelmarin. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Terminal Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kuala Perlis dan perkhidmatan feri ke Satun, Thailand dicadang dibuka semula sekali gus meran­cakkan ekonomi setempat di Kuala Perlis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pembukaan semula tersebut juga bakal memberi manfaat besar kepada industri pelancongan di negeri ini.

Katanya, jika perkhidmatan feri dan Perkhidmatan feri Roll On Roll Off (RORO) ke Satun dibuka sekurang-kurangnya lebih 200 orang akan keluar masuk sehari sekali gus bakal merancakkan ekonomi setempat.

Ujarnya, laluan ke Satun menggunakan laluan laut itu hanya sekitar 30 minit berbanding jarak yang lebih jauh menggunakan laluan darat melalui Wang Kelian.

“Kita sedang berusaha ke arah itu dan ramai yang bersetuju jika CIQ di Kuala Perlis dan perkhid­matan feri ke Satun kembali dibuka,” katanya kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Oktober tahun lalu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga pernah menyarankan CIQ di Kuala Perlis dipertimbangkan dibuka semula.

Titah baginda, ia menjadi ke­perluan memandangkan Kuala Perlis sebelum ini pernah menjadi destinasi pilihan utama untuk mendapatkan bekalan dan keperluan asas serta makanan bagi masyarakat Melayu Muslim Thailand di sekitar Satun terutama dari Thamalang, Pulau Panjang dan Puyu.

Baginda bertitah, sejak ditutup selepas Covid-19, kegiatan ekonomi mikro Kuala Perlis difahamkan menjadi perlahan.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, dahulu ada perkhidmatan bot penambang dari Kuala Perlis ke Satun dengan tambang sekitar RM7.

“Jika dibuka kembali, akan berlaku keluar masuk rakyat Thailand dan Malaysia sekali gus bakal merancakkan ekonomi penduduk setempat yang boleh menjalankan perniagaan.

“Selain itu, pembukaan se­mula pintu masuk ini juga sedikit sebanyak dapat membantu merancakkan kembali aktiviti ekonomi Perlis khususnya di Kuala Perlis.

“Malah, kerajaan negeri juga boleh menjana pendapatan apabila ekonomi di kawasan pelanco­ngan berkenaan rancak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN