Bersatu Kelantan serah kepada Mahkamah untuk buat keputusan permohonan injunksi Mohd. Azizi

Bersatu Kelantan serah kepada Mahkamah untuk buat keputusan permohonan injunksi Mohd. Azizi

KAMARUDIN Md. Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan selepas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Mohd. Azizi Abu Naim memfailkan injunksi bagi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mengumumkan kawasan itu kosong pada 19 Jun lalu.

Pengerusinya Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, wakil rakyat itu berhak berbuat demikian walaupun Speaker DUN Kelantan telah membuat keputusan mengikut  Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Sesiapa sahaja berhak untuk menfailkan bantahan ke mahkamah mengenai kepentingannya yang difikirkan terjejas. Itu kita serah kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Saya pasti Speaker tidak membuat keputusan sesuka hati kerana terdapat peraturan yang dijadikan sebagai panduan termasuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan dan Perlembagaan Persekutuan. Saya turut dimaklumkan Speaker telah bermesyuarat dan berbincang bersama Jabatan Penasihat Undang-Undang Negeri serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Negeri sebelum keputusan dibuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kamarudin memberitahu, Mohd. Azizi hilang kelayakan sebagai ADUN kerana beliau tidak ikut arahan dan polisi parti walaupun keputusan bertanding DUN Nenggiri selepas mendapat restu Bersatu.

“Kalau beliau betul-betul setia kepada Bersatu, tindakan awal itu tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya sebelum bertindak datang jumpa dan bincang dengan parti dahulu,” ujarnya.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggeri Mohd. Azizi Abu Naim akan memohon injuksi mahkamah selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengumumkan kerusi itu kosong pada 19 Jun lalu.

Pada 7 November tahun lalu, Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN) Mohd. Aziz Abu Naim secara rasmi mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa hari ini.

Sokongan terbuka itu dinyatakan oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gua Musang menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik menerusi laman sosial rasminya sebentar tadi.

Mohd. Azizi berkata, keputusan itu bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang akan terbela dan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN